Najib bersama Muhyiddin bersalaman dengan sebahagian penjawat awam pada MAPPA XIII, di PICC, semalam.
Putrajaya: Kerajaan mengumumkan kenaikan gred gaji baru bagi pegawai dan anggota tentera serta polis untuk disetarakan dengan perkhidmatan awam lain dalam Sistem Saraan Baru (SSB).
Pelarasan yang dinamakan Sistem Saraan Transformatif (SST) itu akan menggantikan Sistem Saraan Malaysia (SSM) yang diguna pakai sebelum ini, diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada Majlis Perdana Perkhidmatan Awam Ke-13 (MAPPA XIII), di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, semalam.
Beliau berkata, pelarasan gaji bagi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang berkuatkuasa 1 Januari lalu bakal memanfaatkan 233,192 anggota pasukan keselamatan di seluruh negara, iaitu 109,209 PDRM dan 123,983 ATM.
Pangkat dalam perkhidmatan ATM dan PDRM kini disetarakan dengan Perkhidmatan Awam Am selaras perubahan lapisan gred jawatan atau gred gaji.
Ia mencakupi perubahan skop fungsi tugas khas, struktur pangkat dan kelayakan bagi skim perkhidmatan ATM serta PDRM, katanya.
Hadir sama Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Ali Hamsa dan Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Pembangunan) Jabatan Perkhidmatan Awam, Datuk Farida Mohd Ali.
PENDEK MASA NAIK PANGKAT..
Katanya, pelaksanaan penambahbaikan itu berasaskan kecemerlangan yang akan memanfaatkan lebih 17,000 penjawat awam yang layak.
Di samping itu, kerajaan secara prinsipnya bersetuju meluaskan kaedah pelaksanaan kenaikan pangkat laluan pantas, kenaikan pangkat laluan pakar bidang dan kenaikan pangkat laluan kemahiran tinggi bagi menambah baik laluan kemajuan kerjaya penjawat awam dalam jangka masa panjang.
Kaedah pelaksanaannya, termasuk pembangunan kriteria dan struktur panel khas untuk ketiga-tiga laluan baru itu akan diperincikan sebelum dilaksanakan, katanya.
KENAIKAN GAJI TAHUNAN..
Selain itu, semua penjawat awam menerima faedah pemindahan gaji sebanyak satu KGT yang dipercepatkan pada 1 Julai 2013 dengan setiap penjawat awam mendapat kenaikan antara RM80 hingga RM320 mengikut gred gaji masing-masing, membabitkan peruntukan RM1.5 bilion.
Sekiranya tiada pelarasan gaji atau semakan dibuat, kerajaan setuju pergerakan gaji khas sebanyak tiga peratus diberikan kepada pegawai yang mencapai dan berada pada gaji maksimum, katanya.
Perdana Menteri berkata, kerajaan juga bersetuju menyambung perkhidmatan hampir 50,000 kakitangan awam kontrak selama setahun lagi apabila kontrak mereka tamat pada 31 Disember depan sementara menunggu kajian menyeluruh berhubung perkara itu dilaksanakan.
87 ELAUN DIKAJI SEMULA..
Putrajaya: Nasib kakitangan awam akan lebih terbela berikutan keputusan kerajaan mengkaji semula 87 elaun termasuk elaun bantuan sara hidup (COLA) serentak dengan penambahbaikan 22 skim perkhidmatan awam.
Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Ali Hamsa, berkata penambahbaikan itu dijangka siap sebelum hujung tahun ini dan diumumkan sama ada pada akhir November atau awal Disember ini.
SYOR SKIM PERUMAHAN KHAS..
Selain itu, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) akan membuat cadangan kepada kerajaan mewujudkan skim perumahan khas kakitangan awam, terutama generasi muda.
Ramai penjawat awam yang mahu memiliki rumah di bandar besar tapi tidak kesampaian kerana kenaikan mendadak harga rumah. Kita akan lihat sama ada skim yang disyorkan ini boleh digabungkan dengan skim perumahan PR1MA. Kita juga akan tambah unit kuarters di tempat yang diperlukan, katanya.
Ali turut menolak tanggapan negatif bahawa insentif yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak adalah buah tangan pilihan raya kerana pelarasan gaji dan jawatan serta penambahbaikan perkhidmatan awam diumumkan setiap tahun.
TARIK MINAT JADI TENTERA..
Sementara itu, Presiden CUEPACS, Datuk Omar Osman, percaya keserataan pangkat dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan perkhidmatan awam am akan menarik minat lebih ramai menyertai pasukan keselamatan.
Keserataan gred jawatan dan gaji ini adalah satu lonjakan drastik untuk ATM serta PDRM dan kita amat menghormati peranan mereka.
Saya percaya, inisiatif untuk kakitangan awam am lain juga berupaya menggerakkan mereka supaya lebih produktif, katanya.
Beliau juga berterima kasih kepada kerajaan kerana 22 isu berhubung kakitangan awam berjaya diselesaikan sejak lima tahun lalu.
PANGKAT ATM, PDRM SETARA DENGAN PERKHIDMATAN AM..
PUTRAJAYA — Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan berkuatkuasa 1 Januari 2013, kerajaan bersetuju pangkat-pangkat dalam perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) disetarakan dengan Perkhidmatan Awam Am selaras perubahan lapisan gred jawatan atau gred gaji.
Beliau berkata, ia mencakupi skop fungsi tugas, struktur pangkat dan juga kelayakan bagi skim perkhidmatan ATM dan PDRM.
"Sebagai contoh, Koperal dalam ATM dan PDRM yang dahulunya dalam kelompok gred jawatan atau gred gaji 17 disetarakan dengan gred jawatan atau gred gaji 22 Perkhidmatan Awam. Sarjan yang dulu dalam kelompok gred jawatan 27 disetarakan dengan gred jawatan 29 Perkhidmatan Awam Am,” katanya berucap pada Majlis Perdana Perkhidmatan Awam ke-13 di sini.
Sementara itu, bagi jawatan Kapten ATM dan Penolong Penguasa Polis yang dahulunya dalam kelompok gred jawatan 41 disetarakan dengan gred jawatan 44.
Untuk jawatan Mejar ATM dan Timbalan Penguasa Polis yang dahulunya dalam kelompok gred jawatan 41, diletakkan dengan gred jawatan baru iaitu 46A, sementara Kolonel ATM dan Penolong Pesuruhjaya Polis dalam kelompok gred jawatan 48 disetarakan dengan gred 52.
"Sesungguhnya kesetaraan ini dibuat bagi memastikan kedudukan ketiga-tiga perkhidmatan iaitu ATM, PDRM dan Perkhidmatan Awam Am sentiasa terpelihara di samping mengekalkan keharmonian antara perkhidmatan,” katanya.
~missseri~
Tiada ulasan:
Catat Ulasan